Friday, October 9, 2009

BERPINDAH!

Sukacita dimaklumkan bahawa laman ini telah berpindah ke www.generasimerdeka.com sila ke capaian baru dan bersama-sama membina negara bangsa Malaysia.

Thursday, June 4, 2009

Bangsa Malaysia

Sedang Obama menjelajah bumi Arab untuk cuba menyakinkan masyarakat Islam dunia dengan rencah terbaru, Najib pula berada di bumi China menyemai persahabatan yang lebih erat. Rasulullah pernah bersabda, jika menuntut ilmu biar sampai ke negeri China. Sinonimnya, Obama sedang masih di bumi Arab, Najib sudah pun berada di bumi China. Alangkah baiknya sekiranya kata-kata Rasullulah menyerupai waktu ini. Seolah-olah kita sudah berada dihadapan Amerika.
Lawatan Najib ke China akan meningkatkan semangat setiakawan dan menjurus kepada persefahaman dua hala yang lebih baik. Bolehkah masyarakat kaum Cina Malaysia mengenepikan sikap prejudis dan prasangka terhadap kaum lain. Begitu juga dengan pemikiran kaum Melayu, India dan lain-lain kaum; hendaklah berhenti dari terus dipagar perbezaan. Sudah lebih 50 tahun kita merdeka, Malaysia sudah dewasa. Kita sudah sebati dengan budaya, agama serta adat resam bangsa Malaysia. Pemikiran jumud yang hanya akan membataskan kemajuan Malaysia mesti diketepikan. Kita tidak mahu kegagalan mengenepikan perbezaan pemikiran akan meminggirkan Malaysia dari kemajuan dunia yang akhirnya merugikan negara Malaysia. Marilah kita mewujudkan kesepakatan tanpa mengira kaum dan berganding bahu kerana itulah resepi yang menepati tuntutan era ekonomi global.

Monday, May 25, 2009

Keterhakisan Gagasan 1Malaysia

Gagasan 1Malaysia lahir dari harapan Perdana Menteri Malaysia yang cuba diterjemahkan melalui perpaduan semua kaum di Malaysia menuju Wawasan 2020. RAKYAT Malaysia; Melayu, Cina,India, Iban, Kadazan, Sikh dan semua komposisi kaum yang wujud di Malaysia disinergikan untuk melahirkan satu kekuatan bagi melonjakkan kedudukan negara dan memangkin kederasan mencapai Wawasan2020 yang kita impikan selama ini. Bagi mencapai usaha ini menuntut seluruh RAKYAT dan pemimpin mengenepikan sentimen perkauman bagi maksud kemajuan negara Malaysia. Maka sebab itu motto '1Malaysia:Rakyat didahulukan, prestasi diutamakan' menjadi teras gagasan ini.

Bagaimanapun seakan wujud penentangan secara senyap terhadap 1Malaysia dengan tindak-tanduk Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Datuk Dr.Teng Hock Nan dan Timbalan Menteri Wilayah Datuk M.Saravanan yang membimbangkan generasi merdeka. Gesaan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang yang mahu Kerajaan Malaysia membenarkan Chin Peng kembali ke Malaysia mencerminkan seakan parti itu menyokong komunis dan lupa akan sejarah perit negara. Tidak salah untuk kerajaan membenarkan beliau kembali tetapi tidak kena pada tempat dan masa untuk pemimpin Gerakan ini menyuarakan sokongan mengambil kira iklim politik negara sekarang. Pemimpin Parti Gerakan itu dilihat seakan mengambil kesempatan terhadap kerajaan Barisan Nasional yang pada ketika ini memerlukan sokongan yang tidak berbelah bagi. Andai kata kerajaan membenarkan Chin Peng kembali, saya percaya simbolik ini akan merencanakan satu lagi bentuk kekuatan penentangan terhadap kestabilan politik Malaysia. Sekiranya nada gesaan ini dikongsi oleh keseluruhan kepimpinan parti Gerakan, generasi merdeka mencurigai kesetiaan dan halatuju parti tersebut dalam Barisan Nasional. Generasi merdeka yakin bahawa Dato'Seri Hishammuddin akan membuat keputusan yang tidak akan menjejaskan keamanan dan kestabilan politik negara.

Perhimpunan yang dianjurkan oleh World Tamil Relief (WTR) bagi menggesa gerakan menekan kerajaan Sri Lanka agar tidak berlaku kejam terhadap masyarakat Tamil kononnya telah dihadiri oleh Datuk M.Saravanan. Walhal, ini dianggap mencampuri urusan sebuah kerajaan negara lain. Mengapa sibuk dengan masyarakat Tamil di Sri Lanka? Mungkin Datuk M.Saravanan berasa terpanggil untuk bersuara diatas platform masyarakat Tamil dunia. Beliau sepatutnya berasa lebih patriotik dan melihat di dalam negara sendiri dari sibuk bercakap bagi pihak tamil dunia 'umpama anak di rumah kelaparan, kera di hutan disusukan'.Saya tidak nampak pentingnya beliau untuk berucap memandangkan beliau merupakan seorang timbalan menteri yang mewakili kerajaan Barisan Nasional dan sepatutnya menonjolkan imej tidak bersikap partisan. Ini menjadikan beliau sebagai kera sumbang didalam barisan kerajaan yang sepatutnya mendokong gagasan ini dengan sepenuh hati.

Bukankah bagus sekiranya kedua-dua pemimpin ini menggembleng seluruh tenaga dan usaha bagi mencapai gagasan 1Malaysia dari sibuk dengan perkara-perkara yang hanya mengundang konotasi negatif kepada demografi negara. Kedua-dua mereka seharusnya sibuk menggarap aspirasi dan meraih sokongan masyarakat menggunakan instrumen gagasan 1Malaysia. Kalau kesemerataan peluang ekonomi dan kuasa sering menjadi tuntutan masyarakat cina dan india, wujud kebimbangan sekiranya pemimpin yang mewakili mereka bercakap mengenai perkara yang berbaur unsur-unsur pengaruh luar. Ini boleh menggagalkan matlamat 1Malaysia, jangan sampai keutuhan terlerai bersama nilai yang dibawa oleh pemimpin didalam Barisan Nasional itu sendiri.